Pages

20 October, 2010

Anugerah jadi motivasi OKU capai kemajuan

Semoga Lebih ramai OKU akan berdaya maju lepas ni,....... istimewa dan berjaya .. insyaallah
KUALA LUMPUR: “Anugerah ini menjadi motivasi kepada diri dan golongan orang kurang upaya (OKU) untuk meneruskan usaha mencapai kemajuan dalam diri seterusnya menggenggam kejayaan.

gambar hanya hiasan saja ..

“Walaupun mempunyai kekurangan, ia bukan batu penghalang kepada sebuah kejayaan malah menjadi inspirasi untuk berusaha tanpa mengenal putus asa dengan berbakti kepada golongan senasib,” kata penerima Anugerah Khas OKU Cemerlang, Aqlam Jafri, 41, sempena Program Jalinan Mesra Aidilfitri Bersama OKU dan Saudara Muslim di pekarangan masjid Negara, di sini, semalam.


Majlis yang meraikan 2,400 OKU dan saudara baru dirasmi oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim. Hadir sama, Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Datuk Che Mat Che Ali.


Aqlam berkata, dia akan terus mencurah ilmu kepada golongan senasib untuk lebih berjaya dalam hidup selain memberi ilmu agama kepada mereka.


Katanya, walaupun pekak dia tidak pernah menyesal dengan apa yang dianugerahkan malah menjadikannya sebagai hikmah untuk berjaya seperti insan normal.


“Saya mahu berbakti kepada golongan kurang bernasib baik dengan memberi ilmu kepada mereka dan berharap akan muncul beberapa tokoh agama OKU cemerlang masa depan.


“Anugerah itu juga menunjukkan OKU tidak disisih masyarakat yang terbuka memberi pelbagai peluang untuk berjaya termasuk pekerjaan dan pendidikan,” katanya yang berasal dari Johor serta pemegang Ijazah Sarjana Muda Sistem Informasi Komputer Universiti Gallauder, Amerika Syarikat.


Dia merancang untuk menubuhkan Persatuan Orang Pekak Islam Malaysia bagi memberi motivasi dan galakkan kepada golongan senasib untuk berjaya selain memperoleh bantuan.


Penerima Anugerah OKU Cemerlang, Mohammad Zaki Mohamed Yusoff, 29, bersyukur dan akan menjadikannya sebagai dorongan kepada kejayaan masa depan.


“Dorongan keluarga dan semua pihak menguat semangat untuk mencapai cita-cita selain mahu membantu OKU lain mencapai kejayaan.


“OKU kini terbela kerana banyak sekolah dan pusat pengajian ditubuhkan serta berasa bertuah berpeluang seperti orang normal,” katanya yang juga Ketua Masjid Gombak.

1 comment:

leave your comment here